/
BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget

Tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi MUHAMMAD s.a.w. pesuruh ALLAH

About Me

My photo
Anak kelahiran Bumi Kenyalang..Berketurunan Melayu Sarawak..Masih menuntut di UPSI..Insyaallah akan menjadi bakal Pendidik nusa dan bangsa...

Sunday, October 24, 2010

Seni Bina Islam

Disediakan oleh:
Nur Haziqah Binti Muhamad Hanafiah ( A119369 )
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM
1.0 Pengenalan
Senibina merupakan seni par excellence yang berkaitan dengan pengaturan ruang, manakala senibina Islam dibangunkan bertujuan menempatkan manusia dihadapan Tuhan dengan cara memperlihatkan ruang yang dibentuk, diatur, dan disesuaikan dengan pelbagai teknik senibina (Nasr 1987 : 58). Menurut M. A. J. Beg, senibina bukan sahaja dilihat pada bentuk- bentuk bangunan dan tugu- tugu peringatan, malahan ia turut membayangkan tamadun yang dilahirkan (Romzah 1994 : 4).
Seyyed Hossein Nasr telah berpendapat bahawa, keutuhan senibina Islam bukan sahaja berhubungkait dengan kesatuan aspek kosmologi dan apa yang ada di sebalik alam dengan Kesatuan Prinsip Ketuhanan itu sendiri, malahan ia juga berhubungkait dengan kesatuan hidup individu dengan masyarakat yang diatur oleh hukum Ilahi ataupun al-Syari’ah (Nasr 1987 : 73). Menurut beliau lagi, prinsip- prinsip senibina Islam tidak ditemui dalam sumber- sumber penulisan pada zaman awal Islam bukan bermaksud ia tidak wujud, tetapi ia tidak perlu dijelaskan secara terperinci seperti hari ini.
Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam. Suatu karya seni dapat dikategorikan sebagai seni Islam bukan hanya kerana diciptakan oleh seorang Muslim, tetapi juga dilandasi oleh wahyu Ilahi (Nasr 1987 : 17 ). Sejarah perkembangan senibina Islam di Tanah Melayu bermula setelah kedatangan para pendakwah Islam seawal abad ke 12M. Hasil peninggalan mereka bukan sahaja menjadi bukti sejarah, malahan telah mempengaruhi kesenian dan kebudayaan masyarakat tempatan termasuklah dalam aspek senibina dan kesannya boleh dilihat di seluruh negara sehingga ke hari ini.

2.0 Senibina dalam al- Qur’an dan al- Hadith
Seni atau ‘art’ pada asalnya didapati daripada perkataan Latin, yang difokuskan kepada kerja- kerja tangan atau ukiran. Dalam konteks senibina, ianya adalah seni membuat bangunan. ‘Seni’ mempunyai erti yang merangkumi konsep, rupa, bentuk, gerak, dan masa. Manakala perkataan ‘bina’ tidak khusus kepada rangka bangunan ataupun sesuatu bentuk fizikal tetapi meliputi tindakan dan juga konsep (Romzah 1994 : 2).
Senibina Islam menurut Yaa’cob Yusuf, merupakan gabungan konsep- konsep Tauhid, Perundangan, dan Kemasyarakatan yang terdapat dalam kepercayaan dan ajaran Islam merupakan faktor penyatu yang mencantumkan berbagai bentuk bangunan dalam menghasilkan satu corak yang menggambarkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian, keharmonian dan keseimbangan (Yaa’cob 1983 : 40).
Al- Qur’an banyak menjelaskan kepada kita tentang senibina. Penerangan dari wahyu Allah S.W.T telah dijadikan sumber rujukan bagi para sarjana. Antaranya ialah al- Qur’an telah memberitahu bahawa Allah S.W.T adalah Maha Mencipta, dan segala ciptaanNya adalah sempurna. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam banyak surah, antaranya pada surah an- Naba’, ayat 12 dan 13 yang memberitahu kepada manusia bahawa Allah S.W.T telah membinakan tujuh langit yang kukuh di atas manusia:
(13) وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً (12) وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعاً شِدَاداً
Antara ayat lain yang membicarakan tentang senibina adalah seperti dalam surah Qaf, ayat 6 tentang pembinaan (penciptaan) langit yang tidak retak walau sedikitpun:
أَفَلَمْ يَنظُرُواْ إِلَى السَّمَآءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَـهَا وَزَيَّنَّـهَا وَمَا لَهَا مِن فُرُوجٍ
Allah S.W.T juga telah menjelaskan bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan ialah Ka’bah, penerangan ini terdapat dalam beberapa surah seperti pada ayat 96, surah Ali- Imran:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكاً وَهُدًى لِّلْعَـلَمِينَ
Firman Allah S.W.T dalam surah al- Isra’ ayat 1 turut memberitahu kepada manusia tentang binaan (rumah ibadat) yang diberkati Allah S.W.T adalah Masjid al- Haram dan Masjid al- Aqsa’:
سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَـتِنَآ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Allah S.W.T turut menceritakan peristiwa sejarah tentang kebinasaan negeri- negeri orang yang zalim dan keruntuhan bangunan- bangunan dan istana, kesan ini dapat dilihat sehingga kini. Peristiwa ini diceritakan dalam surah al- Hajj, ayat 45:
فَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ فَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَّشِيدٍ
Allah S.W.T telah memberi ilham kepada Ashab al-Kahfi, supaya mendirikan bangunan (tempat ibadat) di atas gua, peristiwa ini telah diceritakan oleh Allah S.W.T dalam surah al- Kahfi, ayat 21:
وَكَذلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُواْ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لاَ رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَـزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُواْ ابْنُواْ عَلَيْهِمْ بُنْيَـنًا رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُواْ عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا
Tujuan penciptaan piramid oleh kerajaan Firaun pada zaman nabi Musa a.s di Mesir turut dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam surah al- Qasas, ayat 38:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يأَيُّهَا الْملأ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِّنْ إِلَـهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَهَـمَـنُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّى صَرْحاً لَّعَلِّى أَطَّلِعُ إِلَى إِلَـهِ مُوسَى وَإِنِّى لأَظُنُّهُ مِنَ الْكَـذِبِينَ
Aspek pertahanan dalam senibina turut diterangkan oleh Allah S.W.T secara terperinci. Allah S.W.T telah mengajar manusia tentang bagaimana membuat dinding pertahanan yang hebat, yang tidak mampu dimusnahkan oleh manusia, kecuali hanya kuasa Allah S.W.T sahaja yang boleh menghancurkannya dalam sekelip mata. Penjelasan itu terdapat pada ayat 94- 98, surah al- Kahfi:
قَالُواْ يذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى الاٌّرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجاً عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ءَاتُونِى زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُواْ حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَاراً
قَالَ آتُونِى أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْراً فَمَا اسْطَـعُواْ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَـعُواْ لَهُ نَقْبًا

قَالَ هَـذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى
Terdapat banyak lagi penjelasan al- Qur’an terhadap senibina. Al- Qur’an yang merupakan petunjuk dan wahyu dari Allah S.W.T, bukan sahaja dijadikan sebagai sumber hukum, malahan menceritakan perkara ghaib dan peristiwa sejarah, serta mengajar manusia cara- cara membuat pelbagai jenis senibina. Penjelasan oleh Rasulallah s.a.w berkaitan senibina juga terdapat dalam al- Hadith. Antaranya adalah seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa Rasulallah s.a.w bersabda:
Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya, anak- anak yang soleh yang ditinggalkan, al- Qur’an yang diwariskan atau masjid- masjid yang dibinanya atau rumah- rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak- anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini merupakan waqaf yang berkekalan untuknya). (Riwayat Ibnu Majah, bab tsawab mu’allim al-nas al-khair, no. 242)
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa Rasulallah s.a.w bersabda:
Tempat yang paling dicintai Allah S.W.T di atas muka bumi ialah masjid dan tempat yang paling dibenci ialah pasar- pasar. (Riwayat Muslim, bab fadl al-jalus fi muslah… no.1528)

Daripada Umar ibn al-Khatab r.a, meriwayatkan katanya:
Aku mendengar bahawa Rasulallah s.a.w bersabda: Barangsiapa membina rumah- rumah Allah S.W.T, yang memasukkan di dalamnya nama Allah (berdzikir kepada Allah), Allah S.W.T akan binakan baginya rumah di dalam syurga. (Riwayat Ibnu Hibban, qala al-mulhaq: isnaduhu sahih)
Daripada A’isyah r.a, meriwayatkan bahawa baginda Rasulallah s.a.w bersabda:
Baginda memerintahkan orang ramai di kampung- kampung supaya membina masjid- masjid, menjaga kebersihan masjid, dan memasang bau- bauan masjid. (Riwayat Abu Daud, bab ittakhazu al-masjid fi al-duar, no.455)
Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh al- Qur’an dan al- Hadith, jelaslah bahawa kepentingan senibina Islam kepada manusia khususnya umat Islam tidak dapat dinafikan lagi. Tuntutan agama ini telah dijadikan satu kewajipan oleh para pendakwah yang datang ke Tanah Melayu. Mereka bukan sahaja menyumbangkan ilmu, malahan menjadi perintis terhadap perkembangan senibina Islam di Malaysia pada masa kini.
3.0 Perkembangan senibina berunsur Islam di Malaysia
Senibina Islam membentuk satu kesatuan sekaligus kepelbagaian, keselarasan, dan naungan, di seluruh kota dan desa. Antara senibina Islam yang terawal adalah Masjid al- Haram, Masjid al- Aqsa’ dan Masjid al- Nabawi. Menurut catatan Ibnu Hisham, 4 dinding asas Ka’bah pada zaman nabi Muhammad s.a.w, adalah hanya beberapa sentimeter lebih tinggi dari saiz ketinggian manusia. Manakala menurut catatan Izraqi saiz dinding itu berukuran 4.5m, bersamaan dengan 15 kaki (Allan 1989 : 4). Masjid al- Aqsa’ kemudiannya telah dibina selepas 40 tahun pembinaan Ka’bah (Omer 2005 : 235).
Berdasarkan catatan sejarah tamadun Islam terdahulu, dapatlah diketahui bahawa senibina Islam tidak lahir serentak dengan kelahiran Islam itu sendiri. Ia lahir kerana pengaruh dari negeri- negeri asing, hasil dari peperangan dan pembukaan negeri. Senibina Islam berkembang dalam masyarakat Islam itu sendiri secara beransur- ansur selari dengan perkembangan tamadun (Desai 1971 : 12).
Perkembangan senibina Islam di Tanah Melayu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Senibina Islam ini muncul selaras dengan perkembangan Islam di Tanah Melayu pada kurun ke-12M. Senibina berunsur Islam ini dibangunkan oleh kelompok pendatang yang berperanan menyebarkan dakwah di Tanah Melayu. Binaan yang dibangunkan oleh golongan tersebut mempamerkan kebudayaan tempat asal mereka.
Antara negeri terawal yang menerima pengaruh senibina Islam adalah Kedah pada abad ke-10M, Terengganu abad ke-13M, Sabah abad ke-14M, Negeri Sembilan abad ke-14M, Kelantan abad ke-17M, dan Melaka abad ke-17M. Antara binaan yang dianggap mempunyai ciri senibina Islam adalah seperti masjid dan ciri yang terdapat padanya, istana, batu nisan, batu bersurat, dan bangunan atau kota pentadbiran. Fokus perbincangan kerta kerja ini adalah pada binaan masjid dan istana bermula pada abad ke-17M sehingga awal abad ke-20M serta senibina moden di Malaysia.
3.1 Sejarah ringkas kedatangan Islam ke Tanah Melayu
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah bermula dengan pelayaran mubaligh Islam dari Semenanjung Tanah Arab, benua China dan India serta Sumatera yang menjadikan Tanah Melayu sebagai kawasan persinggahan. Selain dari menjalankan urusan perdagangan, para pendakwah ini menjadikan kawasan persinggahan mereka sebagai tempat menyebarkan agama Islam. Hasil peninggalan mereka memberi kesan kepada masyarakat Tanah Melayu serta memberikan gambaran yang sempurna tentang sejarah Islam di Malaysia.
Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada kesultanan Melayu Melaka yang didirikan menjelang tahun 1400M. Pada zaman kegemilangan, kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan pantai timur Sumatera. Walau bagaimanapun, penemuan sejarah telah mencatatkan bahawa agama Islam terlebih dahulu sampai ke negeri Kedah iaitu pada abad ke-10M, Kelantan pada abad ke-12M, manakala Terengganu pada abad ke-13M.
Menurut catatan Ibnu Khordazbeh dalam bukunya Al-Masalik wa al-Mamalik 224H/846M, agama Islam telah sampai di Kedah pada abad ke-10M berdasarkan penemuan makam (kubur orang Islam) di Tanjung Inggeris. Sebaliknya Salsilah Negeri Kedah mencatatkan agama Islam tiba di Kedah pada tahun 531H manakala Islam telah menjadi agama anutan penduduk Kuala Berang, Terengganu pada tahun 1303M berdasarkan catatan pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang. (Abdul Rahman 1981 : 21).
Kemunculan agama Islam di Kelantan dibuktikan dengan penemuan wang dinar yang dijumpai tertanam di kawasan Kota Kubang Labu. Tercatat padanya perkataan al-Jalus Kelantan 577 dalam bahasa Arab. Manakala di bahagian sebelahnya lagi tertulis perkataan al-Mutawakkil. Angka 577 dalam bahasa Arab itu dipercayai adalah bermaksud tahun 577H bersamaan 1181M (As’ad 1962 : 13).
Penduduk Negeri Sembilan pula menerima Islam pada abad ke-14M. Hal ini terbukti dengan penemuan kubur seorang Islam bertarikh 850H/1467M (Abdul Rahman 1981 : 21). Kerajaan Johor dan Perak pula diasaskan setelah penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511M. Dalam abad ke-17M, Pahang telah menjadi sebahagian daripada Johor dan hanya muncul kembali sebagai kesultanan yang merdeka pada tahun 1881M (Zalinatun 1997 : xviii).
Negeri Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada kesultanan Brunei yang mencapai kejayaan pada abad ke-16M setelah kejatuhan Melaka. Menurut dokumen Selasilah tulisan jawi dalam bahasa Idaan, Lahad Datu telah menerima kedatangan Islam dari pedagang Arab, Parsi, dan India pada tahun1408M. Manakala sebuah surau tertua ditemui Midai, Sabah pada tahun yang sama (Abdul Rahman 1981 : 44).
4.0 Kesan peninggalan sejarah dalam aspek senibina Islam
4.1 Masjid
Kedatangan Islam ke alam Melayu selain membawa ajaran Islam berupa aqidah, ia juga telah mengembangkan konsep Islam iaitu ad- Din sebagai cara hidup. Di antara cara hidup yang terpenting yang berhubung rapat dengan ad-Din ialah masjid (Abdul Rahman 1981 : 67). Senibina masjid termasuk di dalam senibina bangunan yang penting di Malaysia. Selain menjadi lambang keagungan syiar Islam, masjid juga menjadi pusat pengembangan ajaran Islam. Perkataan ‘Masjid’ berasal dari bahasa Arab. Secara harfiah ia bererti tempat sujud, iaitu posisi ketiga dalam solat (namaz), ketika dahi orang yang solat menyentuh tanah dalam kepatuhan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T (Nasr 1987 : 51).
Antara fungsi-fungsi masjid ialah sebagai tempat menunaikan solat Jumaat di samping solat-solat biasa, tempat ahli jemaah bermesyuarat sebelum menjalankan sesuatu kegiatan kebajikan, tempat mengajar pelbagai ilmu keagamaan. Antaranya pengajaran ilmu tauhid (ilmu berkenaan keesaan Allah), fekah (pengetahuan berkenaan hukum agama Islam), sejarah Islam, tafsir (keterangan dan penjelasan berkenaan ayat-ayat Al-Quran), kursus menguruskan mayat, kursus haji, dan sebagainya. Di masjid juga sering diadakan majlis syarahan agama dan lain-lain majlis sosial seperti maulidur rasul, bacaan tahlil, dan sebagainya.
Terdapat seni tertentu didakwa berasal dari Masjid, contohnya seni kaligrafi khat Kufi, dan tilawah al- Qur’an (seni suara), Secara jelasnya, masjid memainkan peranan penting dalam pengciptaan atau penghasilan seni Islam yang baru ( Nasr 1987 : 23). Ciri-ciri yang nyata pada sesebuah masjid ialah kubah, menara, bumbung, pintu besar, tiang-tiang utama, mimbar masjid, mihrab, hiasan di ruang-ruang sebelah dalam masjid seperti seni ukir dan seni khat.
Senibina masjid yang terawal adalah mempunyai ciri senibina rumah Melayu tradisional. Dari semasa ke semasa, binaan yang didirikan diperbaharui, diubah suai, dan disisipkan dengan unsur-unsur kesenian daripada pelbagai bangsa di dunia, terutamanya dari negara Islam yang lain. Gabungan dan percantuman unsur-unsur seni bina Islam dari negara Turki, Arab, Maghribi, Parsi, India, dan China telah membentuk dasar seni bina bagi sebahagian daripada masjid di Malaysia.
Hampir semua bentuk masjid yang terawal mempunyai tiang. Lantai masjid biasanya ditinggikan dari paras tanah untuk mengelakkan air daripada memasuki masjid ketika banjir contohnya Masjid Kampung Laut, Kelantan. Bumbung masjid dibina bertingkat-tingkat, tinggi, dan curam untuk memudahkan penyaliran air apabila hujan lebat, supaya air tidak bertakung dan bahan kayu tidak cepat reput, contohnya Masjid Kampung Keling, Melaka.
Masjid Melayu lama biasanya diperbuat daripada kayu dan bumbungnya berbentuk atap tumpang atau 'meru'. Bumbung tumpang adalah dibina bertingkat- tingkat, besar di bahagian bawah, dan meruncing ke bahagian atas. Bilangan 'meru' biasanya ganjil (3 atau 5) kerana mengikut kepercayaan orang-orang Melayu, angka ganjil (ghasal) dianggap angka yang suci. Di antara tingkat-tingkat bumbung terdapat ruang berbentuk jendela untuk penyaliran udara dan cahaya supaya keadaan di dalam masjid nyaman dan selesa. Dinding, jendela, dan jejala untuk menepati fungsinya mempunyai nilai-nilai estetika (Abdul Rahman 1981 : 67).
Kini, hanya terdapat beberapa buah masjid yang berbentuk tradisional kerana banyak masjid lama telah reput dan musnah, ataupun telah terbakar. Beberapa bangunan masjid yang masih ada pada hari ini telah diperbaharui beberapa kali dengan menggantikan bangunan batu serta menggunakan bumbung zink atau genting menggantikan bumbung nipah.
Reka bentuk senibina masjid berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan oleh faktor iklim ,topografi, persekitaran dan cara hidup masyarakat tempatan. Pada masa dahulu, masjid dibina berhampiran dengan istana-istana raja ataupun kawasan kegiatan ekonomi, seperti berdekatan sawah padi atau pusat perdagangan. Masjid-masjid yang terkemudian mempunyai kubah berbentuk bawang. Kubah jenis ini muncul selepas negara dijajah oleh Inggeris. Gaya pembinaan ini diilhamkan daripada senibina Timur Tengah dan India.
Struktur pembinaan seperti ini hanya muncul di Tanah Melayu pada kurun ke-20 dan masih terus diaplikasikan dalam pembinaan masjid- masjid baru di Malaysia. Bentuk seni bina masjid di Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Kini terdapat gaya pembinaan yang menakjubkan dari segi bahan, teknik, dan proses. Antara masjid terawal di Malaysia yang bermula pada abad ke-17M sehingga abad ke-19M adalah seperti berikut;
http://newpaces.com/forum/topic/486
javascript:window.print()

Teater dalam pendidikan

OLEH : FAZIAH SULAIMAN



Seni drama atau teater merupakan satu cara belajar. Kanak-kanak dan remaja belajar mengenal diri dan masyarakat melalui drama. Ini disebabkan elemen asas drama yang meniru dan mencerminkan kehidupan induvidu serta masyarakatnya. Melalui aktiviti drama kreatif, murid-murid dapat dibimbing berkomunikasi secara bersuara atau tanpa suara (body language) dengan berkesan. Mereka juga boleh dilatih dengan penggunaan laras bahasa mengikut konteks dan situasi yang sesuai melalui aktiviti simulasi, main peranan dan improvisasi. Di samping itu pembelajaran melalui drama akan menjadikan para pelajar belajar dengan lebih bermakna dan menyeronokkan.

            Drama merentas kurikulum, kerana ianya boleh diaplikasikan sebagai pendekatan atau teknik pengajaran dan pembelajaran dalam semua mata pelajaran. Di samping itu, aktiviti drama yang dilaksanakan di bilik darjah dapat menggalakkan interaksi dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta tepat.

          Sama seperti karya kesusasteraan yang lain, drama sebagai teks, berperanan menyebarkan ilmu pengetahuan dan menjadi sumber rujukan budaya masyarakat yang digambarkan. Guru boleh membimbing pelajar menghayati kandungan teks atau skrip melalui pembacaan dan perbincangan tentang skrip yang dibaca. Para pelajar dapat mendalami perihal manusia dan ragamnya serta memahami perilaku manusia serta sosio budaya masyarakat melalui watak-watak yang dibina dalam skrip tersebut.

          Guru boleh membawa pelajar meneroka pemikiran yang lebih luas dan mendalam tentang tema dan aspek-aspek lain dalam sesebuah skrip melalui pendekatan atau kaedah yang sesuai. Penghayatan skrip juga boleh dilaksanakan dengan aktiviti teater pembaca atau pementasan teater. 
          Selain itu, skrip juga boleh distrukturkan mengikut mata pelajaran tertentu. Contohnya, untuk mengajarkan sejarah, guru boleh memilih skrip yang mendokumentasikan kisah sejarah yang dipelajari atau membinanya sendiri bersama pelajar dengan mengaplikasikan teknik improvisasi atau simulasi. 
            Melalui plot atau konflik yang dikemukakan dalam skrip, guru boleh meminta pelajar berbincang bagi memikirkan penyelesaian masalah, andaian atau meramalkan penyelesaian sesuatu cerita/peristiwa. Melalui analisis perwatakan pula, guru boleh meminta pendapat murid tentang perilaku, tindakan dan cara watak menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan.
           Aktiviti sebegini boleh menggalakkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif, di samping menggalakkan murid memahami permasalahan masyarakat dan cuba menjadikan persoalan di dalam skrip itu sebagai satu pengajaran yang menambahkan pengalaman mereka tentang erti kehidupan. Dalam hal ini, secara tidak langsung guru telah dapat menerapkan nilai-nilai murni dan membentuk peribadi pelajar itu sendiri.
           Penghasilan sebuah teater kanak-kanak atau remaja, merupakan satu usaha yang amat bermakna kepada para pelajar. Peranan teater dalam pendidikan bukan sekadar melatih kefasihan bertutur, kecekapan berkomunikasi, berfikir dan berketrampilan, malahan melalui aktiviti berteater, murid boleh mempertingkatkan potensi diri dalam banyak aspek. Ini termasuklah aspek perkembangan diri dan sosialnya.
Teater merupakan seni persembahan yang menggabungkan seni lakon dengan plbagai seni lain seperti seni muzik, seni tari, seni pertukangan, seni bina, seni berbahasa dan seni yang lain.
           Oleh itu amat bertepatanlah, teater menjadi medium unggul untuk menyampaikan pembelajaran secara bersepadu sebagaimana yang diharapkan dalam pendidikan masa kini.
            Melalui penglibatan dalam aktiviti drama atau teater, para pelajar digalakkan memaksimumkan semua aspek kecerdasan dalam diri mereka. Ini bertepatan pula dengan kepelbagaian kecerdasan yang telah dimasukkan sebagai kemahiran nilai tambah dalam pendidikan.
            Aktiviti teater juga merupakan aktiviti yang berpusatkan murid, kerana proses penghasilan teater itu sendiri pasti melibatkan penyertaan mereka secara aktif.

            Kanak-kanak atau remaja yang memainkan peranan dalam aktiviti drama akan menerokai pelbagai aspek penting dalam perkembangan diri mereka seperti yang dijelaskan dalam rajah berikut;
            Konsep Teater dalam Pendidikan dengan Drama Pendidikan sering kali disalahertikan oleh umum. Apabila menyebut Drama Pendidikan (Drama Education) bermakna melatih kanak-kanak atau pelajar dengan pelbagai teknik drama seperti lakonan, penulisan skrip, pengarahan dan apresiasi drama. Manakala Teater dalam Pendidikan (Theatre in Education) kita sebenarnya membicarakan tentang seni atau aktiviti drama yang diintergrasikan ke dalam pendidikan. Dalam hal ini, pendidikan bermakna bukan sahaja pemerolehan pengetahuan, tetapi yang lebih penting ialah proses pembelajaran dan penguasaan kemahiran, ilmu dan pembentukan sikap pelajar yang terlibat. Melalui pelbagai aktiviti drama, pelajar yang terlibat dapat mengenal diri mereka lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Teater dalam Pendidikan membolehkan kita melatih para pelajar menajamkan sensitiviti mereka, meningkatkan kefahaman dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya mereka, mananamkan jati diri bangsa, serta memperkembangkan daya imaginasi, kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta kemahiran berkomunikasi. Aktiviti teater boleh berfungsi sebagai satu kaedah terapi yang membantu pelajar mempunyai masalah emosi dan fizikal.

             Drama dan teater juga berperanan membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi Intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ini amat sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara. 

Diperolehi pada 11 oktober 2010. Daripada : http://www.tutor.com.my/dunia.asp?y=2009&dt =0406&pub=DuniaPendidikan&sec=Isu_Semasa&pg=is_01.htm

javascript:window.print() 

Thursday, October 21, 2010

PENGARUH ESTETIKA SENI ISLAM DAN KESENIAN TRADISI


Seperti pada dekad 1970-an, dekad 1980-an juga memperlihatkan kepelbagaian stail dalam dunia seni lukis tempatan di samping memuncaknya minat kepada estetika kesenian Islam. Kepelbagaian stail, antaranya lahir daripada golongan untuk mencari suatu identity yang mencerminkan keperibadian dan nilai-nilai bangsa, kemasyarakatan, kebudayaan dan agama. Ini merupakan lanjutan daripada reaksi kepada Dasar-dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memuncak dalam dekad tujuh puluhan. 

Dalam tradisi Islam, pelukis dan tukang dipandu oleh prinsip yang tertentu dalam kegiatan kreatifnya. Teras kesedaran ialah ‘Tauhid’ iaitu Keesaan, akidah yang teguh dalam kepercayaan kepada Allah Maha Pencipta Alam. Dalam amalannya, tiap perkara yang dilakukan oleh seseorang (pelukis) Islam yang sebenarnya dilakukan dengan penuh kesedaran darihal hakikat ini. Alam semula jadi tidak semestinya diagung-agungkan, melainkan sebagai bahan tanpa zat. Oleh itu, pengabstrakan dapat diterima. Tetapi nilai abstrak dalam seni rupa Islam tidak ada kaitan dengan pengabstrakan dalam seni rupa Barat, di mana watak pelukis ditegaskan, meskipun dalam bentuk abstrak. Dalam seni rupa Islam, alam semula jadi tidak ditegaskan untuk menarik akal pemerhati kepada pendapat tentang kelebihan Islam.
                                   (Al-Faruqi, Lois Lamya dalam Syed Ahmad Jamal, 1987:41)
         
Rujukan kepada kesenian tradisi juga dapat dilihat dalam karya dekad 1980-an, misalnya dalam karya Hashim Hassan, Fatimah Chik, Mastura Abdul Rahman, Syed Shaharuddin Bakeri dan Haron Mokhtar. Hashim Hassan menerusi karya yang bertemakan “Burung Batik” berbicara tentang keamanan, peperangan dan kemajuan teknologi menerusi pengucapan bahasa tampak batik, agak dekoratif, simbolik serta lembut, sesuai dengan peribadi Melayu. Bahasa batik juga lahir dalam karya-karya Fatimah Chik dan syed Shaharudin. Berbeza daripada catan-catan batik Chuah Thean Teng pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, karya mereka berdua tidak menampilkan imejan figura manusia, sebaliknya memiliki symbol-simbol yang kaya pengertiannya dengan masyarakat serantau.

          Meskipun kecenderungan kepada nilai-nilai estetika seni Islam dan kesenian tradisi memuncak dapa dekad lapan puluhan, ia tidak pula mematikan pertalian stail pelukis-pelukis tempatan dengan gaya seni Barat, terutama Ekspresionisme dan Abstrak Eksptesionisme. Unsure-unsur ini jelas kelihatan dalam karya-karya Yusof Ghani bertemakan “Siri Tani” dan karya-karya Awang Damit Ahmad (sekadar menyebut beberapa contoh). Minat kepada stail begini dapat dilihat menerusi pameran dan bengkel-bengkel seni, seperti Bengkel Catan Ekspressionisme kelolaan Balai Seni Lukis Negara pada 3 hingga 10 Mac 1986, di mana seramai 20 orang pelukis Malaysia mengikuti bengkel di bawah kelolaan Guenther Winkledari republik Persekutuan Jerman. (Muliyadi Mahamod, 2001:17-18)          
javascript:window.print() 

SONGKET



Sejarah
Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke-15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.
Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.
Motif
Motif yang digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif songket ialah Motif Tumbuh-tumbuhan, Motif Binatang, Motif Alam/ Benda dan Motif Kuih
Corak
Corak kain songket lazimnya terdiri daripada Susunan bunga penuh, Susunan bunga bertabur dan Susunan bercora
Proses Pembuatan
Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil ‘kek tenun’. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.
Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu dikeringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.
Melerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
Menggulung
Benang-benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk benang
Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.

Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.
Menyongket benang
Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.
Menenun
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.
Penggunaan
Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.
Setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.

Artikel diperolehi daripada:
Perpustakaan Negara Malaysia. 2000. Warisan Budaya Malaysia. Diperoleh pada 7 Oktober 2010. Daripada: http://malaysiana.pnm.my/04/0408songket.htm

Wednesday, October 20, 2010

ASPRESIASI KARYA SENI VISUAL


ROSKANG JAILANI
Oleh: Mohd Johari Ab. Hamid
Ada orang berpandangan, untuk menghasilkan sebuah lukisan ataupun catan mudah saja, apatah lagi catan itu berbentuk abstrak. Ini kerana sekadar menyapukan warna atau merenjis-renjis warna di dada kanvas. Penulis sendiri pernah mendengar kenyataan itu bahawa untuk melukis sebuah  lukisan abstrak tidak terlalu sukar melalui proses penciptaannya.
            Tetapi ungkapan dan kenyataan kosong itu sebenarnya satu pandangan teori yang tiada wujud akan kebenarannya. Sebenarnya, untuk menghasilkan sebuah karya seni tidak kira sama ada berbentuk realism atau abstrak merupakan satu proses yang amat sukar. Ini merupakan kreativiti dalam pemikiran, penyelidikan, proses perkembangan idea, proses lakaran dan ia amat membebankan. Ini tidak termasuk faktor masa dan kewangan yang diperuntukkan itu. Terhasilnya sebuah catan sebenar telah terhimpun segala apa yang diperkatakan tadi.
            Ramai pelukis yang ditemubual berpendapat, hanya mereka yang benar-benar ‘gila’ saja yang sanggup melukis. Termasuk aspek lain seperti berminat dan berbakat dan berani untuk menceburkan diri dalam kancah seni visual itu. Penulis sendiri yang mendapat pendidikan dalam bidang seni halus pernah merasai pahit getir untuk menjadi seorang artis. Malah untuk menjadi seorang artis atau pelukis sepenuh masa, ia menuntut kesabaran dan minat yang amat mendalam.
            Dalam penyelidikan yang dijalankan, penulis mendapati ramai pelukis mampu mengolah dan menjana idea untuk melahirkan sebuah karya seni yang bermutu. Seseorang seniman tidak mungkin dapat melahirkan karya seni seandainya himpunan khazanah, idea dan sumber ilhamnya itu tidak boleh dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin. Karya seni itu berkemungkinan menjadi kosong, kaku dan tidak bernyawa. Karya seni visual perlu dianggap sebagai hasil himpunan khazanah, idea, sumber inspirasi, buah fikiran serta pandangan seseorang artis itu.     
            Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dan kemudian mencalitkan pula pada dada-dada kanvas atau sebagainya memperlihatkan satu adunan kreativiti yang hebat. Karya seni itu merupakan satu manifestasi kejujuran. Kejujuran seniman yang ingin memperkatakan sesuatu yang dianggap ‘hak’, tidak wajar dipersoalkan kebenarannya. Bagi pendapat penulis, tidak ramai manusia itu mampu berbuat demikian.
            Dalam membicarakan akan kepentingan karya seni visual dan pelukis itu, penulis berkesempatan menghayati karya-karya seni visual dari pelukis berbakat Roskang Jailani. Roskang Jailani yang tidak jemu-jemu berkarya itu telah Berjaya mengajak penulis untuk berbahas mengenai kepentingan karya-karya seni abstrak dalam perkembangan seni moden di Malaysia. Menurut pelukis kelahiran Selangor itu, karya seni abstrak merupakan satu manifestasi dalaman dari seseorang pelukis. Pelukis abstrak tidak kira aliran Impresionis atau Abstrak Ekspresionis telah meletakkan satu tahap terpenting dalam seni moden di negara ini. Sebagai pelukis abstrak beliau menyatakan agak terlalu sukar untuk menterjemahkan sesuatu elemen realism ke dalam bentuk abstrak. Sebagaimana sukarnya penghayat seni memahami karya abstrak. Sebagaimana sukarnya penghayat seni memahami karya abstrak begitulah sukarnya untuk melukis karya-karya sedemikian.
            Penulis berpendapat bahawa untuk memahami karya seni visual tidak kira apa bentuknya terletak kepada dua pendekatan utama. Dua pendekatan utama yang dimaksudkan itu ialah memahami Bentuk dan Isi (Makna) atau ‘form and content’. Kegiatan seni visual mestilah berpusatkan kepada dua perkara penting itu.
            Bentuk dalam ertikata seni ialah segala tatacara, peraturan, kaedah dan susun atur dalam penghasilan sesebuah karya seni. Ini melibatkan elemen-elemen seni atau unsur-unsur seni seperti garisan, warna, rupa, bentuk, ruang dan jalinan. Manakala prisip rekaan melibatkan unsur-unsur pergerakan, imbangan, kontra, penegasan, keteguhan, proposi dan lain-lain. Sementara Isi adalah makna sesebuah lukisan itu. Misalnya yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian,  agama, hikayat, sastera, kepercayaan, sejarah, social. Ekonomi. Politik, sukan dan sebagainya. (Muliyadi Mahamood, 1999:20)
            Dalam karya catan Roskang seperti ‘Season Series’, beliau telah menterjemahkan karyanya itu kepada susunan bentuk-bentuk yang padu lagi terisi. Bentuk-bentuk yang dipilih itu menurutnya lagi adalah manifestasi alam semula jadi yang dihayatinya sepanjang masa. Kebesaran Allah s.w.t, mencipta keindahan alam itu sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Menurutnya lagi, keindahan alam itu boleh dihayati melalui keindahan warna dan bentuk-bentuk yang wujud. Bentuk-bentuk yang wujud itu telah ‘digayakan’ melalui penggunaan sapuan-sapuan warna.
            Penulis amat tertarik dengan warna dan bentuk-bentuk yang dilukiskan itu. Sapuan-sapuan berus dari Roskang itu ada yang spontan dan ada yang begitu ekspresif dan bertenaga.
            Menghayati karya-karya seni catan Roskang Jailani yang berjudul, ‘Season Series’ itu telah mengingatkan penulis kepada karya seni pelukis-pelukis Abstrak Expressionism seperti Wassily Kandinsky, Tom Thomson (Autumn Foliage)(1916), Henri Matisse (Study for The Joy of Life)(1905), Joan Mitchell, (Low Water)(1969), Willem De Kooning (Woman and bicycle)(1952) dan Jakson Pollock (Convergence)(1952). Manakala dalam kemeriahan pelukis-pelukis abstrak Malaysia yang terkenal seperti Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Awang Damit Ahmad dan Fauzan Omar, Roskang telah Berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan mereka dalam menterjemahkan idea-ideanya dengan berpaksikan alam semula jadi sebagai sumber rujukan terpenting.
            Bagi penulis, Roskang amat Berjaya menggabungkan bentuk dan isi atau makna dalam catan-catannya. Isi dalam konteks catan beliau ialah luahan emosinya. Kita boleh melihat dari gerakan pantas dari palitan warna serta garisan-garisan kesan dari sapuan berus kecil, besar dan sederhana. Kelihatan amat bersahaja dan penuh bermakna. Beliau cuba mencukil imejan-imejan yang berselerakan itu dipermukaan kanvas dengan cengan cara memberikan penekanan kepada sapuan berus. Sebagai insan yang sensitif dengan kejadian yang berlaku terhadap ‘nature’, beliau sebenarnya mahu mengajak masyarakat berkongsi imejan dan emosi itu. Menurutnya, emosi merupakan kesan ekspresif dalaman pelukis. Menurut pelukis yang berusia empat puluh tahun itu lagi, manusia perlu menjaga dan membelai emosi. Manusia mesti bijak untuk meluahkan perasaannya itu. Semua manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya itu demgan orang lain. Terdapat berbagai-bagai cara dilakukan oleh manusia untuk menterjemahkan perasaan atau emosinya itu.
            Seperti yang dijelaskan oleh Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya Psychology of Gesture telah mengkaji apa itu pernyataan dan perlakuan manusia. Antaranya beliau menyatakan bahawa manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya itu di bawah kesedaran. Ini bermaksud manusia tidak menyedari emosi dan perasaannya itu telah dikeluarkan tanpa kawalan diri.
            Begitu juga tulisan R.G Collingwood (1958) dalam The Principles of Art pula menyatakan bahawa seniman tidak dapat mengetahui akan bentuk emosi dan perasaannya selagi dia tidak mengeluarkannya. Dengan kata lain, hasil karya seni yang dipaparkan oleh Roskang itu adalah dari kegiatan dari penerokaan emosi atau perasaannya yang begitu mendalam terhadap ‘nature’ .
            Bagi merealisasikan penerokaan emosi itu, Roskang telah menjelajah banyak tempat-tempat menarik sama ada di dalam hutan atau rimba belantara. Dalam pada itu, beliau terus mencipta dan mengolah karya seni serta mencari ruang untuk mempamerkan karya-karya seni visualnya. Setakat ini beliau turut menyertai beberapa siri pameran diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah beberapa buah karyanya telah menjadi koleksi peribadi beberapa individu terkenal di negara kita.
            Suatu kenyataan berani dari pelukis itu yang turut terfikir oleh penulis ialah katanya, “pelukis kita perlu mempunyai gaya tersendiri dan tidak takut untuk berdepan dengan persoalan jati diri.” Kepercayaannya bahawa pelukis kita suka meniru gaya dari Barat sebagai ‘idola’ itu harus dikuburkan. Pelukis perlu berani dan keluar dari kepompong yang menyelimutkan diri mereka selama ini. Sewajarnya setelah lebih lima puluh tahun seni Malaysia berkembang, para pelukis Malaysia sepautnya sudah ada kekuatan dalaman sendiri yang mampu membawa mereka bergerak lebih jauh dari sekarang ini.
            Penghayat akan medapat kepuasan bila nalurinya dipenuhi. Begitu juga apabila menghayati karya Roskang. Peminat karya-karya berbentuk Abstrak Ekspressionis pasti berasa puas menatapi karya-karya seni Roskang. Namun begitu seniman ini perlu merenung akan tahap dan kehendak naluri masyarakat yang pelbagai itu. Sesetengah ahli masyarakat suka karya-karya yang tidak digemari orang lain. Tap, bukan menjadi tanggung jawab semua pelukis untuk mengikuti kehendak penghayat seninya.
            Karya seni visual sebenarnya mampu menterjemah kehendak naluri seniman. Karya seni visual mampu mengupas isu permasalahan yang dipaparkan oleh pelukisnya. Karya seni visual juga Berjaya untuk membawa masyarakat menyelami erti kehidupan yang sebenarnya. Masyarakat sewajarnya mendekati pelukis untuk menimba semua pengalaman itu. Di bahu seniman terletak satu tanggung jawab sosial yang berat. Seniman bukan lagi berkarya untuk keseronokan sendiri atau kepuasan kendiri, tetapi lebih jauh dari itu. Untuk menjana fikiran masyarakat, seniman perlu menggunakan satu pendekatan yang berkesan. Seni visual sebenarnya boleh berperanan mendidik penghayat seni atau masyarakat. Seperti yang terdapat dalam tulisan Edmund Burke Feldman (1996) bahawa seni sebagai satu alat komunikasi yang amat berkesan untuk mendidik masyarakat. Ini kerana masyarakat boleh menerima pandangan dan buah fikiran dari para seniman. Contohnya melalui penghayatan karya seni visual, penghayat seni akan dapat menyelami apakah yang hendak disampaikan oleh seniman. Jelaslah melalui karya seni visual, ia merupakan satu peluang bagi seniman untuk menyatakan rasa hati dan perasaan mereka itu.
            Oleh itu, pelukis seperti Roskang Jailani telah berjaya menggunakan pendekatan itu untuk mengajak masyarakatnya menghayati ‘nature’ yang dipaparkan itu.  (Mohd. Johari Ab. Hamid, 2008:159-164)

Thursday, October 14, 2010

KEPENTINGAN SENI VISUAL DALAM PENDIDIKAN KANAK-KANAK

PERKEMBANGAN SENI KANAK-KANAK

Oleh: Babasani


1.1 KANAK-KANAK DAN SENI VISUAL

Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta
berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran
mereka. Hasil kerja seni visual yang dihasilkan berfungsi sebagai
alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanakkanak.

1.2 KEPENTINGAN PENGAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL KEPADA KANAK-KANAK

(a) Aspek Kognitif

Penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang dapat
melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan
menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak
membuat keputusan.

(b) Aspek Fizikal

Penggunaan alat dan bahan memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata.
(c) Aspek Kreativiti

(d) Aspek Persepsi

murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan
pancaindera dan deria melalui proses penghasilan dan hasilan seni,
produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

(e) Aspek Sosial dan Emosi
Murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial
selain meningkatkan keyakinan diri. Mata pelajaran pendidikan seni
juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti
berkumpulan yang dibentuk.

1.3 KANAK-KANAK DAN SENI LUKIS

(a) Melukis sebagai Medium Komunikasi

Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum
mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan
yang berkesan untuk berinteraksi.

(b) Melukis sebagai Cara Mencapai Kepuasan Diri

Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan
kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat
meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan
otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi
kanak-kanak.

(c) Melukis untuk Meningkatkan Daya Penguasaan Kendiri (Self
Esteem)


Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak
dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.
Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid
untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek
di dalam pendidikan seni visual mengutamakan proses, berbanding
dengan hasilan akhir.

javascript:window.print()

Thursday, October 7, 2010

PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL


PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL
Sejarah telah membuktikan bahawa lukisan yang paling awal di negara kita ditemui adalah di gua-gua seperti Gua Niah, Sarawak, Lukisan Gua Batu Putih, Kodiang, Kedah, Gua Tambun di Perak dan Gua Batu Cincin di Hulu Kelantan. Lukisan ini dipercayai dilukis oleh manusia pada zaman batu. Antara peralatan yang telah mereka gunakan adalah seperti arang dari kayu yang dibakar, batu pemahat (gurisan) dan menggunakan batu hemait (bijih besi beroksida). Kebanyakan motif yang dilakarkan ialah berkaitan dengan kehidupan seharian mereka seperti peristiwa perburuan, binatang buruan, rusa, kijang, imej perahu, pondok, peralatan memburu dan sebagainya. (Mohd Johari, 2006:153)
            Penemuan lukisan prasejarah di dinding gua ini memberikan syarat penting kepada kita mengenai perkembangan konsep visual dalam kalangan masyarakat sepanjang zaman di negara kita.  Sebagai contoh lukisan prasejarah yang bertemakan aktiviti memburu di gua batu kapur, Tambun, Ipoh memperlihatkan signifikannya konsep visual tersebut dalam kehidupan mereka. Lakaran-lakaran yang bermotifkan tiga ekor haiwan berkaki empat dilukis oleh manusia prasejarah bagi menjelaskan budaya merekod. (Ahmad Suhaimi, 2007:13)
KONSEP DAN KAEDAH SEJARAH SENI VISUAL
Maksud Sejarah Seni Visual
Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, sebenarnya sejarah seni melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.
Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1995; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
Tujuan Sejarah Seni Visual
Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
KRITIKAN SENI VISUAL
Kritikan seni memainkan peranan penting dalam proses perkembangan seni visual. Ia berkaitan dengan pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap seni visual di tempat yang lebih baik. Tujuan kritikan seni visual ialah meningkatkan penghasilan karya yang lebih bermutu dalam kalangan seniman. Selain itu ia juga dapat meningkatkan tahap apresiasi dan kefahaman masyarakat terhadap karya seni visual. Walau bagaimanapun, kritikan seni juga dapat menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan seperti pencarian identiti budaya nasional.  Tujuan lain adalah dapat meningkatkan nilai karya ke tahap yang lebih baik, memberi peluang kepada pihak galeri atau promosi seni untuk mencari bakat baru serta berperanan sebagai penghubung antara seniman dengan seniman yang lain.
            Kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas iaitu pendekatan ilmiah dan jurnalistik. Pendekatan jurnalistik merupakan pendekatan popular yang berbentuk laporan, penerangan dan penulisan deskriptif yang terbit dalam surat khabar, majalah, siaran media elektronik dan radio. Manakala pendekatan ilmiah pula merujuk kepada penulisan yang bersertakan kajian sumber dan dilakukan setelah kajian mendalam dijalankan. (Marhanim & Mohd Sharizal, 2007:165-166)
BIBLIOGRAFI
Ahmad Suhaimi Mohd Noor. 2007. Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Marhanim dan Mohd Sharizal. 2007. Teks STPM Seni Visual. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd
Mohd Johari Ab. Hamid. 2006. Asas Seni Visual. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Muliyadi mahamood. 1995. Seni Senilukis dalam peristiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Zakaria Ali. 1989. Seni dan seniman : esei-esei seni halus.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
roskangjailani@gmail.com
javascript:window.print()