/
BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget

Tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi MUHAMMAD s.a.w. pesuruh ALLAH

About Me

My photo
Anak kelahiran Bumi Kenyalang..Berketurunan Melayu Sarawak..Masih menuntut di UPSI..Insyaallah akan menjadi bakal Pendidik nusa dan bangsa...

Wednesday, October 20, 2010

ASPRESIASI KARYA SENI VISUAL


ROSKANG JAILANI
Oleh: Mohd Johari Ab. Hamid
Ada orang berpandangan, untuk menghasilkan sebuah lukisan ataupun catan mudah saja, apatah lagi catan itu berbentuk abstrak. Ini kerana sekadar menyapukan warna atau merenjis-renjis warna di dada kanvas. Penulis sendiri pernah mendengar kenyataan itu bahawa untuk melukis sebuah  lukisan abstrak tidak terlalu sukar melalui proses penciptaannya.
            Tetapi ungkapan dan kenyataan kosong itu sebenarnya satu pandangan teori yang tiada wujud akan kebenarannya. Sebenarnya, untuk menghasilkan sebuah karya seni tidak kira sama ada berbentuk realism atau abstrak merupakan satu proses yang amat sukar. Ini merupakan kreativiti dalam pemikiran, penyelidikan, proses perkembangan idea, proses lakaran dan ia amat membebankan. Ini tidak termasuk faktor masa dan kewangan yang diperuntukkan itu. Terhasilnya sebuah catan sebenar telah terhimpun segala apa yang diperkatakan tadi.
            Ramai pelukis yang ditemubual berpendapat, hanya mereka yang benar-benar ‘gila’ saja yang sanggup melukis. Termasuk aspek lain seperti berminat dan berbakat dan berani untuk menceburkan diri dalam kancah seni visual itu. Penulis sendiri yang mendapat pendidikan dalam bidang seni halus pernah merasai pahit getir untuk menjadi seorang artis. Malah untuk menjadi seorang artis atau pelukis sepenuh masa, ia menuntut kesabaran dan minat yang amat mendalam.
            Dalam penyelidikan yang dijalankan, penulis mendapati ramai pelukis mampu mengolah dan menjana idea untuk melahirkan sebuah karya seni yang bermutu. Seseorang seniman tidak mungkin dapat melahirkan karya seni seandainya himpunan khazanah, idea dan sumber ilhamnya itu tidak boleh dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin. Karya seni itu berkemungkinan menjadi kosong, kaku dan tidak bernyawa. Karya seni visual perlu dianggap sebagai hasil himpunan khazanah, idea, sumber inspirasi, buah fikiran serta pandangan seseorang artis itu.     
            Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dan kemudian mencalitkan pula pada dada-dada kanvas atau sebagainya memperlihatkan satu adunan kreativiti yang hebat. Karya seni itu merupakan satu manifestasi kejujuran. Kejujuran seniman yang ingin memperkatakan sesuatu yang dianggap ‘hak’, tidak wajar dipersoalkan kebenarannya. Bagi pendapat penulis, tidak ramai manusia itu mampu berbuat demikian.
            Dalam membicarakan akan kepentingan karya seni visual dan pelukis itu, penulis berkesempatan menghayati karya-karya seni visual dari pelukis berbakat Roskang Jailani. Roskang Jailani yang tidak jemu-jemu berkarya itu telah Berjaya mengajak penulis untuk berbahas mengenai kepentingan karya-karya seni abstrak dalam perkembangan seni moden di Malaysia. Menurut pelukis kelahiran Selangor itu, karya seni abstrak merupakan satu manifestasi dalaman dari seseorang pelukis. Pelukis abstrak tidak kira aliran Impresionis atau Abstrak Ekspresionis telah meletakkan satu tahap terpenting dalam seni moden di negara ini. Sebagai pelukis abstrak beliau menyatakan agak terlalu sukar untuk menterjemahkan sesuatu elemen realism ke dalam bentuk abstrak. Sebagaimana sukarnya penghayat seni memahami karya abstrak. Sebagaimana sukarnya penghayat seni memahami karya abstrak begitulah sukarnya untuk melukis karya-karya sedemikian.
            Penulis berpendapat bahawa untuk memahami karya seni visual tidak kira apa bentuknya terletak kepada dua pendekatan utama. Dua pendekatan utama yang dimaksudkan itu ialah memahami Bentuk dan Isi (Makna) atau ‘form and content’. Kegiatan seni visual mestilah berpusatkan kepada dua perkara penting itu.
            Bentuk dalam ertikata seni ialah segala tatacara, peraturan, kaedah dan susun atur dalam penghasilan sesebuah karya seni. Ini melibatkan elemen-elemen seni atau unsur-unsur seni seperti garisan, warna, rupa, bentuk, ruang dan jalinan. Manakala prisip rekaan melibatkan unsur-unsur pergerakan, imbangan, kontra, penegasan, keteguhan, proposi dan lain-lain. Sementara Isi adalah makna sesebuah lukisan itu. Misalnya yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian,  agama, hikayat, sastera, kepercayaan, sejarah, social. Ekonomi. Politik, sukan dan sebagainya. (Muliyadi Mahamood, 1999:20)
            Dalam karya catan Roskang seperti ‘Season Series’, beliau telah menterjemahkan karyanya itu kepada susunan bentuk-bentuk yang padu lagi terisi. Bentuk-bentuk yang dipilih itu menurutnya lagi adalah manifestasi alam semula jadi yang dihayatinya sepanjang masa. Kebesaran Allah s.w.t, mencipta keindahan alam itu sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Menurutnya lagi, keindahan alam itu boleh dihayati melalui keindahan warna dan bentuk-bentuk yang wujud. Bentuk-bentuk yang wujud itu telah ‘digayakan’ melalui penggunaan sapuan-sapuan warna.
            Penulis amat tertarik dengan warna dan bentuk-bentuk yang dilukiskan itu. Sapuan-sapuan berus dari Roskang itu ada yang spontan dan ada yang begitu ekspresif dan bertenaga.
            Menghayati karya-karya seni catan Roskang Jailani yang berjudul, ‘Season Series’ itu telah mengingatkan penulis kepada karya seni pelukis-pelukis Abstrak Expressionism seperti Wassily Kandinsky, Tom Thomson (Autumn Foliage)(1916), Henri Matisse (Study for The Joy of Life)(1905), Joan Mitchell, (Low Water)(1969), Willem De Kooning (Woman and bicycle)(1952) dan Jakson Pollock (Convergence)(1952). Manakala dalam kemeriahan pelukis-pelukis abstrak Malaysia yang terkenal seperti Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Awang Damit Ahmad dan Fauzan Omar, Roskang telah Berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan mereka dalam menterjemahkan idea-ideanya dengan berpaksikan alam semula jadi sebagai sumber rujukan terpenting.
            Bagi penulis, Roskang amat Berjaya menggabungkan bentuk dan isi atau makna dalam catan-catannya. Isi dalam konteks catan beliau ialah luahan emosinya. Kita boleh melihat dari gerakan pantas dari palitan warna serta garisan-garisan kesan dari sapuan berus kecil, besar dan sederhana. Kelihatan amat bersahaja dan penuh bermakna. Beliau cuba mencukil imejan-imejan yang berselerakan itu dipermukaan kanvas dengan cengan cara memberikan penekanan kepada sapuan berus. Sebagai insan yang sensitif dengan kejadian yang berlaku terhadap ‘nature’, beliau sebenarnya mahu mengajak masyarakat berkongsi imejan dan emosi itu. Menurutnya, emosi merupakan kesan ekspresif dalaman pelukis. Menurut pelukis yang berusia empat puluh tahun itu lagi, manusia perlu menjaga dan membelai emosi. Manusia mesti bijak untuk meluahkan perasaannya itu. Semua manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya itu demgan orang lain. Terdapat berbagai-bagai cara dilakukan oleh manusia untuk menterjemahkan perasaan atau emosinya itu.
            Seperti yang dijelaskan oleh Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya Psychology of Gesture telah mengkaji apa itu pernyataan dan perlakuan manusia. Antaranya beliau menyatakan bahawa manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya itu di bawah kesedaran. Ini bermaksud manusia tidak menyedari emosi dan perasaannya itu telah dikeluarkan tanpa kawalan diri.
            Begitu juga tulisan R.G Collingwood (1958) dalam The Principles of Art pula menyatakan bahawa seniman tidak dapat mengetahui akan bentuk emosi dan perasaannya selagi dia tidak mengeluarkannya. Dengan kata lain, hasil karya seni yang dipaparkan oleh Roskang itu adalah dari kegiatan dari penerokaan emosi atau perasaannya yang begitu mendalam terhadap ‘nature’ .
            Bagi merealisasikan penerokaan emosi itu, Roskang telah menjelajah banyak tempat-tempat menarik sama ada di dalam hutan atau rimba belantara. Dalam pada itu, beliau terus mencipta dan mengolah karya seni serta mencari ruang untuk mempamerkan karya-karya seni visualnya. Setakat ini beliau turut menyertai beberapa siri pameran diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah beberapa buah karyanya telah menjadi koleksi peribadi beberapa individu terkenal di negara kita.
            Suatu kenyataan berani dari pelukis itu yang turut terfikir oleh penulis ialah katanya, “pelukis kita perlu mempunyai gaya tersendiri dan tidak takut untuk berdepan dengan persoalan jati diri.” Kepercayaannya bahawa pelukis kita suka meniru gaya dari Barat sebagai ‘idola’ itu harus dikuburkan. Pelukis perlu berani dan keluar dari kepompong yang menyelimutkan diri mereka selama ini. Sewajarnya setelah lebih lima puluh tahun seni Malaysia berkembang, para pelukis Malaysia sepautnya sudah ada kekuatan dalaman sendiri yang mampu membawa mereka bergerak lebih jauh dari sekarang ini.
            Penghayat akan medapat kepuasan bila nalurinya dipenuhi. Begitu juga apabila menghayati karya Roskang. Peminat karya-karya berbentuk Abstrak Ekspressionis pasti berasa puas menatapi karya-karya seni Roskang. Namun begitu seniman ini perlu merenung akan tahap dan kehendak naluri masyarakat yang pelbagai itu. Sesetengah ahli masyarakat suka karya-karya yang tidak digemari orang lain. Tap, bukan menjadi tanggung jawab semua pelukis untuk mengikuti kehendak penghayat seninya.
            Karya seni visual sebenarnya mampu menterjemah kehendak naluri seniman. Karya seni visual mampu mengupas isu permasalahan yang dipaparkan oleh pelukisnya. Karya seni visual juga Berjaya untuk membawa masyarakat menyelami erti kehidupan yang sebenarnya. Masyarakat sewajarnya mendekati pelukis untuk menimba semua pengalaman itu. Di bahu seniman terletak satu tanggung jawab sosial yang berat. Seniman bukan lagi berkarya untuk keseronokan sendiri atau kepuasan kendiri, tetapi lebih jauh dari itu. Untuk menjana fikiran masyarakat, seniman perlu menggunakan satu pendekatan yang berkesan. Seni visual sebenarnya boleh berperanan mendidik penghayat seni atau masyarakat. Seperti yang terdapat dalam tulisan Edmund Burke Feldman (1996) bahawa seni sebagai satu alat komunikasi yang amat berkesan untuk mendidik masyarakat. Ini kerana masyarakat boleh menerima pandangan dan buah fikiran dari para seniman. Contohnya melalui penghayatan karya seni visual, penghayat seni akan dapat menyelami apakah yang hendak disampaikan oleh seniman. Jelaslah melalui karya seni visual, ia merupakan satu peluang bagi seniman untuk menyatakan rasa hati dan perasaan mereka itu.
            Oleh itu, pelukis seperti Roskang Jailani telah berjaya menggunakan pendekatan itu untuk mengajak masyarakatnya menghayati ‘nature’ yang dipaparkan itu.  (Mohd. Johari Ab. Hamid, 2008:159-164)

No comments:

Post a Comment