/
BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget

Tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi MUHAMMAD s.a.w. pesuruh ALLAH

About Me

My photo
Anak kelahiran Bumi Kenyalang..Berketurunan Melayu Sarawak..Masih menuntut di UPSI..Insyaallah akan menjadi bakal Pendidik nusa dan bangsa...

Sunday, October 24, 2010

Seni Bina Islam

Disediakan oleh:
Nur Haziqah Binti Muhamad Hanafiah ( A119369 )
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM
1.0 Pengenalan
Senibina merupakan seni par excellence yang berkaitan dengan pengaturan ruang, manakala senibina Islam dibangunkan bertujuan menempatkan manusia dihadapan Tuhan dengan cara memperlihatkan ruang yang dibentuk, diatur, dan disesuaikan dengan pelbagai teknik senibina (Nasr 1987 : 58). Menurut M. A. J. Beg, senibina bukan sahaja dilihat pada bentuk- bentuk bangunan dan tugu- tugu peringatan, malahan ia turut membayangkan tamadun yang dilahirkan (Romzah 1994 : 4).
Seyyed Hossein Nasr telah berpendapat bahawa, keutuhan senibina Islam bukan sahaja berhubungkait dengan kesatuan aspek kosmologi dan apa yang ada di sebalik alam dengan Kesatuan Prinsip Ketuhanan itu sendiri, malahan ia juga berhubungkait dengan kesatuan hidup individu dengan masyarakat yang diatur oleh hukum Ilahi ataupun al-Syari’ah (Nasr 1987 : 73). Menurut beliau lagi, prinsip- prinsip senibina Islam tidak ditemui dalam sumber- sumber penulisan pada zaman awal Islam bukan bermaksud ia tidak wujud, tetapi ia tidak perlu dijelaskan secara terperinci seperti hari ini.
Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam. Suatu karya seni dapat dikategorikan sebagai seni Islam bukan hanya kerana diciptakan oleh seorang Muslim, tetapi juga dilandasi oleh wahyu Ilahi (Nasr 1987 : 17 ). Sejarah perkembangan senibina Islam di Tanah Melayu bermula setelah kedatangan para pendakwah Islam seawal abad ke 12M. Hasil peninggalan mereka bukan sahaja menjadi bukti sejarah, malahan telah mempengaruhi kesenian dan kebudayaan masyarakat tempatan termasuklah dalam aspek senibina dan kesannya boleh dilihat di seluruh negara sehingga ke hari ini.

2.0 Senibina dalam al- Qur’an dan al- Hadith
Seni atau ‘art’ pada asalnya didapati daripada perkataan Latin, yang difokuskan kepada kerja- kerja tangan atau ukiran. Dalam konteks senibina, ianya adalah seni membuat bangunan. ‘Seni’ mempunyai erti yang merangkumi konsep, rupa, bentuk, gerak, dan masa. Manakala perkataan ‘bina’ tidak khusus kepada rangka bangunan ataupun sesuatu bentuk fizikal tetapi meliputi tindakan dan juga konsep (Romzah 1994 : 2).
Senibina Islam menurut Yaa’cob Yusuf, merupakan gabungan konsep- konsep Tauhid, Perundangan, dan Kemasyarakatan yang terdapat dalam kepercayaan dan ajaran Islam merupakan faktor penyatu yang mencantumkan berbagai bentuk bangunan dalam menghasilkan satu corak yang menggambarkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian, keharmonian dan keseimbangan (Yaa’cob 1983 : 40).
Al- Qur’an banyak menjelaskan kepada kita tentang senibina. Penerangan dari wahyu Allah S.W.T telah dijadikan sumber rujukan bagi para sarjana. Antaranya ialah al- Qur’an telah memberitahu bahawa Allah S.W.T adalah Maha Mencipta, dan segala ciptaanNya adalah sempurna. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam banyak surah, antaranya pada surah an- Naba’, ayat 12 dan 13 yang memberitahu kepada manusia bahawa Allah S.W.T telah membinakan tujuh langit yang kukuh di atas manusia:
(13) وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً (12) وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعاً شِدَاداً
Antara ayat lain yang membicarakan tentang senibina adalah seperti dalam surah Qaf, ayat 6 tentang pembinaan (penciptaan) langit yang tidak retak walau sedikitpun:
أَفَلَمْ يَنظُرُواْ إِلَى السَّمَآءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَـهَا وَزَيَّنَّـهَا وَمَا لَهَا مِن فُرُوجٍ
Allah S.W.T juga telah menjelaskan bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan ialah Ka’bah, penerangan ini terdapat dalam beberapa surah seperti pada ayat 96, surah Ali- Imran:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكاً وَهُدًى لِّلْعَـلَمِينَ
Firman Allah S.W.T dalam surah al- Isra’ ayat 1 turut memberitahu kepada manusia tentang binaan (rumah ibadat) yang diberkati Allah S.W.T adalah Masjid al- Haram dan Masjid al- Aqsa’:
سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَـتِنَآ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Allah S.W.T turut menceritakan peristiwa sejarah tentang kebinasaan negeri- negeri orang yang zalim dan keruntuhan bangunan- bangunan dan istana, kesan ini dapat dilihat sehingga kini. Peristiwa ini diceritakan dalam surah al- Hajj, ayat 45:
فَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ فَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَّشِيدٍ
Allah S.W.T telah memberi ilham kepada Ashab al-Kahfi, supaya mendirikan bangunan (tempat ibadat) di atas gua, peristiwa ini telah diceritakan oleh Allah S.W.T dalam surah al- Kahfi, ayat 21:
وَكَذلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُواْ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لاَ رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَـزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُواْ ابْنُواْ عَلَيْهِمْ بُنْيَـنًا رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُواْ عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا
Tujuan penciptaan piramid oleh kerajaan Firaun pada zaman nabi Musa a.s di Mesir turut dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam surah al- Qasas, ayat 38:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يأَيُّهَا الْملأ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِّنْ إِلَـهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَهَـمَـنُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّى صَرْحاً لَّعَلِّى أَطَّلِعُ إِلَى إِلَـهِ مُوسَى وَإِنِّى لأَظُنُّهُ مِنَ الْكَـذِبِينَ
Aspek pertahanan dalam senibina turut diterangkan oleh Allah S.W.T secara terperinci. Allah S.W.T telah mengajar manusia tentang bagaimana membuat dinding pertahanan yang hebat, yang tidak mampu dimusnahkan oleh manusia, kecuali hanya kuasa Allah S.W.T sahaja yang boleh menghancurkannya dalam sekelip mata. Penjelasan itu terdapat pada ayat 94- 98, surah al- Kahfi:
قَالُواْ يذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى الاٌّرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجاً عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ءَاتُونِى زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُواْ حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَاراً
قَالَ آتُونِى أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْراً فَمَا اسْطَـعُواْ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَـعُواْ لَهُ نَقْبًا

قَالَ هَـذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى
Terdapat banyak lagi penjelasan al- Qur’an terhadap senibina. Al- Qur’an yang merupakan petunjuk dan wahyu dari Allah S.W.T, bukan sahaja dijadikan sebagai sumber hukum, malahan menceritakan perkara ghaib dan peristiwa sejarah, serta mengajar manusia cara- cara membuat pelbagai jenis senibina. Penjelasan oleh Rasulallah s.a.w berkaitan senibina juga terdapat dalam al- Hadith. Antaranya adalah seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa Rasulallah s.a.w bersabda:
Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya, anak- anak yang soleh yang ditinggalkan, al- Qur’an yang diwariskan atau masjid- masjid yang dibinanya atau rumah- rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak- anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini merupakan waqaf yang berkekalan untuknya). (Riwayat Ibnu Majah, bab tsawab mu’allim al-nas al-khair, no. 242)
Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa Rasulallah s.a.w bersabda:
Tempat yang paling dicintai Allah S.W.T di atas muka bumi ialah masjid dan tempat yang paling dibenci ialah pasar- pasar. (Riwayat Muslim, bab fadl al-jalus fi muslah… no.1528)

Daripada Umar ibn al-Khatab r.a, meriwayatkan katanya:
Aku mendengar bahawa Rasulallah s.a.w bersabda: Barangsiapa membina rumah- rumah Allah S.W.T, yang memasukkan di dalamnya nama Allah (berdzikir kepada Allah), Allah S.W.T akan binakan baginya rumah di dalam syurga. (Riwayat Ibnu Hibban, qala al-mulhaq: isnaduhu sahih)
Daripada A’isyah r.a, meriwayatkan bahawa baginda Rasulallah s.a.w bersabda:
Baginda memerintahkan orang ramai di kampung- kampung supaya membina masjid- masjid, menjaga kebersihan masjid, dan memasang bau- bauan masjid. (Riwayat Abu Daud, bab ittakhazu al-masjid fi al-duar, no.455)
Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh al- Qur’an dan al- Hadith, jelaslah bahawa kepentingan senibina Islam kepada manusia khususnya umat Islam tidak dapat dinafikan lagi. Tuntutan agama ini telah dijadikan satu kewajipan oleh para pendakwah yang datang ke Tanah Melayu. Mereka bukan sahaja menyumbangkan ilmu, malahan menjadi perintis terhadap perkembangan senibina Islam di Malaysia pada masa kini.
3.0 Perkembangan senibina berunsur Islam di Malaysia
Senibina Islam membentuk satu kesatuan sekaligus kepelbagaian, keselarasan, dan naungan, di seluruh kota dan desa. Antara senibina Islam yang terawal adalah Masjid al- Haram, Masjid al- Aqsa’ dan Masjid al- Nabawi. Menurut catatan Ibnu Hisham, 4 dinding asas Ka’bah pada zaman nabi Muhammad s.a.w, adalah hanya beberapa sentimeter lebih tinggi dari saiz ketinggian manusia. Manakala menurut catatan Izraqi saiz dinding itu berukuran 4.5m, bersamaan dengan 15 kaki (Allan 1989 : 4). Masjid al- Aqsa’ kemudiannya telah dibina selepas 40 tahun pembinaan Ka’bah (Omer 2005 : 235).
Berdasarkan catatan sejarah tamadun Islam terdahulu, dapatlah diketahui bahawa senibina Islam tidak lahir serentak dengan kelahiran Islam itu sendiri. Ia lahir kerana pengaruh dari negeri- negeri asing, hasil dari peperangan dan pembukaan negeri. Senibina Islam berkembang dalam masyarakat Islam itu sendiri secara beransur- ansur selari dengan perkembangan tamadun (Desai 1971 : 12).
Perkembangan senibina Islam di Tanah Melayu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Senibina Islam ini muncul selaras dengan perkembangan Islam di Tanah Melayu pada kurun ke-12M. Senibina berunsur Islam ini dibangunkan oleh kelompok pendatang yang berperanan menyebarkan dakwah di Tanah Melayu. Binaan yang dibangunkan oleh golongan tersebut mempamerkan kebudayaan tempat asal mereka.
Antara negeri terawal yang menerima pengaruh senibina Islam adalah Kedah pada abad ke-10M, Terengganu abad ke-13M, Sabah abad ke-14M, Negeri Sembilan abad ke-14M, Kelantan abad ke-17M, dan Melaka abad ke-17M. Antara binaan yang dianggap mempunyai ciri senibina Islam adalah seperti masjid dan ciri yang terdapat padanya, istana, batu nisan, batu bersurat, dan bangunan atau kota pentadbiran. Fokus perbincangan kerta kerja ini adalah pada binaan masjid dan istana bermula pada abad ke-17M sehingga awal abad ke-20M serta senibina moden di Malaysia.
3.1 Sejarah ringkas kedatangan Islam ke Tanah Melayu
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah bermula dengan pelayaran mubaligh Islam dari Semenanjung Tanah Arab, benua China dan India serta Sumatera yang menjadikan Tanah Melayu sebagai kawasan persinggahan. Selain dari menjalankan urusan perdagangan, para pendakwah ini menjadikan kawasan persinggahan mereka sebagai tempat menyebarkan agama Islam. Hasil peninggalan mereka memberi kesan kepada masyarakat Tanah Melayu serta memberikan gambaran yang sempurna tentang sejarah Islam di Malaysia.
Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada kesultanan Melayu Melaka yang didirikan menjelang tahun 1400M. Pada zaman kegemilangan, kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan pantai timur Sumatera. Walau bagaimanapun, penemuan sejarah telah mencatatkan bahawa agama Islam terlebih dahulu sampai ke negeri Kedah iaitu pada abad ke-10M, Kelantan pada abad ke-12M, manakala Terengganu pada abad ke-13M.
Menurut catatan Ibnu Khordazbeh dalam bukunya Al-Masalik wa al-Mamalik 224H/846M, agama Islam telah sampai di Kedah pada abad ke-10M berdasarkan penemuan makam (kubur orang Islam) di Tanjung Inggeris. Sebaliknya Salsilah Negeri Kedah mencatatkan agama Islam tiba di Kedah pada tahun 531H manakala Islam telah menjadi agama anutan penduduk Kuala Berang, Terengganu pada tahun 1303M berdasarkan catatan pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang. (Abdul Rahman 1981 : 21).
Kemunculan agama Islam di Kelantan dibuktikan dengan penemuan wang dinar yang dijumpai tertanam di kawasan Kota Kubang Labu. Tercatat padanya perkataan al-Jalus Kelantan 577 dalam bahasa Arab. Manakala di bahagian sebelahnya lagi tertulis perkataan al-Mutawakkil. Angka 577 dalam bahasa Arab itu dipercayai adalah bermaksud tahun 577H bersamaan 1181M (As’ad 1962 : 13).
Penduduk Negeri Sembilan pula menerima Islam pada abad ke-14M. Hal ini terbukti dengan penemuan kubur seorang Islam bertarikh 850H/1467M (Abdul Rahman 1981 : 21). Kerajaan Johor dan Perak pula diasaskan setelah penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511M. Dalam abad ke-17M, Pahang telah menjadi sebahagian daripada Johor dan hanya muncul kembali sebagai kesultanan yang merdeka pada tahun 1881M (Zalinatun 1997 : xviii).
Negeri Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada kesultanan Brunei yang mencapai kejayaan pada abad ke-16M setelah kejatuhan Melaka. Menurut dokumen Selasilah tulisan jawi dalam bahasa Idaan, Lahad Datu telah menerima kedatangan Islam dari pedagang Arab, Parsi, dan India pada tahun1408M. Manakala sebuah surau tertua ditemui Midai, Sabah pada tahun yang sama (Abdul Rahman 1981 : 44).
4.0 Kesan peninggalan sejarah dalam aspek senibina Islam
4.1 Masjid
Kedatangan Islam ke alam Melayu selain membawa ajaran Islam berupa aqidah, ia juga telah mengembangkan konsep Islam iaitu ad- Din sebagai cara hidup. Di antara cara hidup yang terpenting yang berhubung rapat dengan ad-Din ialah masjid (Abdul Rahman 1981 : 67). Senibina masjid termasuk di dalam senibina bangunan yang penting di Malaysia. Selain menjadi lambang keagungan syiar Islam, masjid juga menjadi pusat pengembangan ajaran Islam. Perkataan ‘Masjid’ berasal dari bahasa Arab. Secara harfiah ia bererti tempat sujud, iaitu posisi ketiga dalam solat (namaz), ketika dahi orang yang solat menyentuh tanah dalam kepatuhan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T (Nasr 1987 : 51).
Antara fungsi-fungsi masjid ialah sebagai tempat menunaikan solat Jumaat di samping solat-solat biasa, tempat ahli jemaah bermesyuarat sebelum menjalankan sesuatu kegiatan kebajikan, tempat mengajar pelbagai ilmu keagamaan. Antaranya pengajaran ilmu tauhid (ilmu berkenaan keesaan Allah), fekah (pengetahuan berkenaan hukum agama Islam), sejarah Islam, tafsir (keterangan dan penjelasan berkenaan ayat-ayat Al-Quran), kursus menguruskan mayat, kursus haji, dan sebagainya. Di masjid juga sering diadakan majlis syarahan agama dan lain-lain majlis sosial seperti maulidur rasul, bacaan tahlil, dan sebagainya.
Terdapat seni tertentu didakwa berasal dari Masjid, contohnya seni kaligrafi khat Kufi, dan tilawah al- Qur’an (seni suara), Secara jelasnya, masjid memainkan peranan penting dalam pengciptaan atau penghasilan seni Islam yang baru ( Nasr 1987 : 23). Ciri-ciri yang nyata pada sesebuah masjid ialah kubah, menara, bumbung, pintu besar, tiang-tiang utama, mimbar masjid, mihrab, hiasan di ruang-ruang sebelah dalam masjid seperti seni ukir dan seni khat.
Senibina masjid yang terawal adalah mempunyai ciri senibina rumah Melayu tradisional. Dari semasa ke semasa, binaan yang didirikan diperbaharui, diubah suai, dan disisipkan dengan unsur-unsur kesenian daripada pelbagai bangsa di dunia, terutamanya dari negara Islam yang lain. Gabungan dan percantuman unsur-unsur seni bina Islam dari negara Turki, Arab, Maghribi, Parsi, India, dan China telah membentuk dasar seni bina bagi sebahagian daripada masjid di Malaysia.
Hampir semua bentuk masjid yang terawal mempunyai tiang. Lantai masjid biasanya ditinggikan dari paras tanah untuk mengelakkan air daripada memasuki masjid ketika banjir contohnya Masjid Kampung Laut, Kelantan. Bumbung masjid dibina bertingkat-tingkat, tinggi, dan curam untuk memudahkan penyaliran air apabila hujan lebat, supaya air tidak bertakung dan bahan kayu tidak cepat reput, contohnya Masjid Kampung Keling, Melaka.
Masjid Melayu lama biasanya diperbuat daripada kayu dan bumbungnya berbentuk atap tumpang atau 'meru'. Bumbung tumpang adalah dibina bertingkat- tingkat, besar di bahagian bawah, dan meruncing ke bahagian atas. Bilangan 'meru' biasanya ganjil (3 atau 5) kerana mengikut kepercayaan orang-orang Melayu, angka ganjil (ghasal) dianggap angka yang suci. Di antara tingkat-tingkat bumbung terdapat ruang berbentuk jendela untuk penyaliran udara dan cahaya supaya keadaan di dalam masjid nyaman dan selesa. Dinding, jendela, dan jejala untuk menepati fungsinya mempunyai nilai-nilai estetika (Abdul Rahman 1981 : 67).
Kini, hanya terdapat beberapa buah masjid yang berbentuk tradisional kerana banyak masjid lama telah reput dan musnah, ataupun telah terbakar. Beberapa bangunan masjid yang masih ada pada hari ini telah diperbaharui beberapa kali dengan menggantikan bangunan batu serta menggunakan bumbung zink atau genting menggantikan bumbung nipah.
Reka bentuk senibina masjid berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan oleh faktor iklim ,topografi, persekitaran dan cara hidup masyarakat tempatan. Pada masa dahulu, masjid dibina berhampiran dengan istana-istana raja ataupun kawasan kegiatan ekonomi, seperti berdekatan sawah padi atau pusat perdagangan. Masjid-masjid yang terkemudian mempunyai kubah berbentuk bawang. Kubah jenis ini muncul selepas negara dijajah oleh Inggeris. Gaya pembinaan ini diilhamkan daripada senibina Timur Tengah dan India.
Struktur pembinaan seperti ini hanya muncul di Tanah Melayu pada kurun ke-20 dan masih terus diaplikasikan dalam pembinaan masjid- masjid baru di Malaysia. Bentuk seni bina masjid di Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Kini terdapat gaya pembinaan yang menakjubkan dari segi bahan, teknik, dan proses. Antara masjid terawal di Malaysia yang bermula pada abad ke-17M sehingga abad ke-19M adalah seperti berikut;
http://newpaces.com/forum/topic/486
javascript:window.print()

1 comment: