/
BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget

Tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Nabi MUHAMMAD s.a.w. pesuruh ALLAH

About Me

My photo
Anak kelahiran Bumi Kenyalang..Berketurunan Melayu Sarawak..Masih menuntut di UPSI..Insyaallah akan menjadi bakal Pendidik nusa dan bangsa...

Thursday, October 7, 2010

PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL


PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL
Sejarah telah membuktikan bahawa lukisan yang paling awal di negara kita ditemui adalah di gua-gua seperti Gua Niah, Sarawak, Lukisan Gua Batu Putih, Kodiang, Kedah, Gua Tambun di Perak dan Gua Batu Cincin di Hulu Kelantan. Lukisan ini dipercayai dilukis oleh manusia pada zaman batu. Antara peralatan yang telah mereka gunakan adalah seperti arang dari kayu yang dibakar, batu pemahat (gurisan) dan menggunakan batu hemait (bijih besi beroksida). Kebanyakan motif yang dilakarkan ialah berkaitan dengan kehidupan seharian mereka seperti peristiwa perburuan, binatang buruan, rusa, kijang, imej perahu, pondok, peralatan memburu dan sebagainya. (Mohd Johari, 2006:153)
            Penemuan lukisan prasejarah di dinding gua ini memberikan syarat penting kepada kita mengenai perkembangan konsep visual dalam kalangan masyarakat sepanjang zaman di negara kita.  Sebagai contoh lukisan prasejarah yang bertemakan aktiviti memburu di gua batu kapur, Tambun, Ipoh memperlihatkan signifikannya konsep visual tersebut dalam kehidupan mereka. Lakaran-lakaran yang bermotifkan tiga ekor haiwan berkaki empat dilukis oleh manusia prasejarah bagi menjelaskan budaya merekod. (Ahmad Suhaimi, 2007:13)
KONSEP DAN KAEDAH SEJARAH SENI VISUAL
Maksud Sejarah Seni Visual
Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, sebenarnya sejarah seni melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.
Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1995; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
Tujuan Sejarah Seni Visual
Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
KRITIKAN SENI VISUAL
Kritikan seni memainkan peranan penting dalam proses perkembangan seni visual. Ia berkaitan dengan pelbagai pihak dalam meningkatkan tahap seni visual di tempat yang lebih baik. Tujuan kritikan seni visual ialah meningkatkan penghasilan karya yang lebih bermutu dalam kalangan seniman. Selain itu ia juga dapat meningkatkan tahap apresiasi dan kefahaman masyarakat terhadap karya seni visual. Walau bagaimanapun, kritikan seni juga dapat menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan seperti pencarian identiti budaya nasional.  Tujuan lain adalah dapat meningkatkan nilai karya ke tahap yang lebih baik, memberi peluang kepada pihak galeri atau promosi seni untuk mencari bakat baru serta berperanan sebagai penghubung antara seniman dengan seniman yang lain.
            Kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas iaitu pendekatan ilmiah dan jurnalistik. Pendekatan jurnalistik merupakan pendekatan popular yang berbentuk laporan, penerangan dan penulisan deskriptif yang terbit dalam surat khabar, majalah, siaran media elektronik dan radio. Manakala pendekatan ilmiah pula merujuk kepada penulisan yang bersertakan kajian sumber dan dilakukan setelah kajian mendalam dijalankan. (Marhanim & Mohd Sharizal, 2007:165-166)
BIBLIOGRAFI
Ahmad Suhaimi Mohd Noor. 2007. Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Marhanim dan Mohd Sharizal. 2007. Teks STPM Seni Visual. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd
Mohd Johari Ab. Hamid. 2006. Asas Seni Visual. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Muliyadi mahamood. 1995. Seni Senilukis dalam peristiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Zakaria Ali. 1989. Seni dan seniman : esei-esei seni halus.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
roskangjailani@gmail.com
javascript:window.print()

No comments:

Post a Comment